Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki bermotosikal yang disyaki terlibat dalam jenayah samun sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun itu pada jam 2.47 petang.

“Semasa insiden itu, seorang lelaki masuk ke dalam premis dipercayai membawa sebatang besi yang dibalut dengan kain lalu memecahkan rak pameran barang kemas.

“Suspek kemudian telah melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Dash.

“Jumlah kerugian yang dialami kedai emas itu adalah dianggarkan berjumlah RM5,000,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Noor Dellhan menambah, semasa kejadian terdapat dua pekerja sedang bertugas di dalam kedai emas itu dan mereka bernasib baik kerana tidak dicederakan oleh suspek.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -MalaysiaGazette