Muhammad Danial Rizqi memerlukan RM70,000 untuk menjalani pembedahan jantung bagi menyelamatkan nyawanya.

GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki berusia 18 hari terpaksa menanggung penderitaan selepas didiagnos menghidapi masalah jantung yang kompleks sejak dalam kandungan.

Bagaimanapun, impian ibu bapa kepada Muhammad Danial Rizqi Muhammad Budriz agar jantung bayi sulung mereka berkembang dengan sempurna ketika bersalin musnah apabila dia terpaksa dilahirkan awal tiga minggu.

Ibunya, Nur Amira Adnan, 28, berkata, keadaan anak mereka semakin meruncingkan apabila dia terpaksa menggunakan bantuan peralatan pernafasan dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) di sebuah hospital di sini sebaik dilahirkan.

Katanya, doktor memaklumkan Muhammad Danial Rizqi hanya dibenarkan pulang selepas pembedahan jantung susulan jantungnya tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.

“Ketika kandungan berusia 28 minggu baru anak saya dikesan mempunyai kecacatan pada jantung dan kami sangka ia akan pulih sebaik dilahirkan.

Nur Amira dan suaminya, Muhammad Budriz berjumpa dengan pihak One Hope Charity untuk meminta bantuan kos pembedahan anak sulung mereka termasuk memberi kebenaran mengutip dana daripada orang ramai.

“Bagaimanapun, keadaan tidak memihak pada kami sebaliknya anak saya perlu menjalani pembedahan jantung yang menelan kos berjumlah RM70,000.

“Pendapatan saya RM1,300 sebulan sebagai kerani di agensi kerajaan dan suami RM1,700 sebagai operator kilang tidak mampu menanggung kos pembedahan tersebut,” katanya yang menetap di Pulau Pinang.

Tambah Nur Amira, dia dan suami mengambil keputusan untuk meminta bantuan daripada One Hope Charity & Welfare termasuk membenarkan mereka mengutip dana sumbangan orang awam untuk menyelamatkan nyawa anak mereka.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, mengikut laporan perubatan yang dibekal hospital mendapati Muhammad Danial Rizqi hanya mempunyai satu saliran darah dalam jantungnya menyebabkan kerumitan untuk ia berfungsi dengan sempurna.

“Selepas membuat beberapa pengesahan pihak keluarga memberi kebenaran kepada One Hope Charity untuk mengumpul dana orang awam berjumlah RM70,000 sekali gus menguruskan urusan rawatan anaknya.

“Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org,” kata beliau.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette