Ujian kit kendiri Covid-19 calitan hidung dan air liur menunjukkan keputusan bercanggah. - Gambar ihsan CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoal tindakan  Kementerian Kesihatan (KKM) meminta masyarakat melakukan ujian sendiri Covid-19 sedangkan kit ujian kendiri itu tidak sensitif.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan pandangan orang ramai mengenai kebimbangan mereka terhadap kaedah ujian sampel air liur dan calitan hidung bagi mengesan Covid-19 yang memberikan keputusan bercanggah.

Jelas beliau, hasil calitan hidung menunjukkan mereka positif Covid-19 manakala ujian sampel air liur menunjukkan keadaan sebaliknya iaitu negatif. 

“Orang ramai melakukan sendiri ujian itu berikutan ahli keluarga mereka positif Covid-19 dengan bergejala sementara ahli keluarga lain melakukannya kerana mereka juga mempunyai gejala.

“Namun dalam kedua-dua kes, hasil ujian menunjukkan negatif palsu dalam ujian sampel air liur.

“Paling membimbangkan jika kit ujian kendiri kurang sensitif dengan memberi hasil negatif palsu dan mereka mungkin beranggapan gejala yang dialami tiada kaitan dengan Covid-19 lalu tidak menjalani kuarantin diri sehingga menyebarkan virus itu dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, antara yang dibimbangi ialah penghidap asma sekiranya hasil ujian kendiri menunjukkan negatif palsu dan mungkin tidak melakukan kuarantin diri.

Katanya, tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai bagi melakukan sendiri ujian mengesan Covid-19 tidak berkesan bagi mengasingkan mereka yang dijangkiti daripada orang lain.

“Pada masa sama mereka bergantung kepada laporan kendiri kepada KKM yang memberi perbezaan besar dalam pengumpulan statistik.

“Justeru, CAP ingin tahu sekiranya benar kit ujian kendiri itu tidak sensitif, kenapa pihak KKM meminta masyarakat melakukannya sendiri?

“CAP juga bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke Malaysia apabila sempadan dibuka sekiranya kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif bagi mengenal pasti pelancong dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini,” tegas Mohideen. – MalaysiaGazette