bekas mb terengganu ahmad said
Ahmad Said

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberi tempoh 14 hari kepada pemilik akaun Facebook bernama Razak Bidin untuk memohon maaf dan memadam posting mengenai dakwaan pemberian tanah di Pulau Redang kepada seorang ahli perniagaan.

Ahmad Said berkata, dakwaan kononnya beliau menjual tanah di Terengganu kepada Tan Sri Vincent Tan pada 2010 iaitu ketika menjadi Menteri Besar di negeri itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Saya memberi tempoh sehingga 14 hari untuk penama memohon maaf dan seterusnya
memadam posting berkenaan. Selepas tempoh 14 hari tamat tindakan undang-undang akan diambil kerana memfitnah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu hantaran oleh penama Razak Bidin yang mendakwa bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad menjual tanah melayu kepada ahli perniagaan tersebut malah Ahmad Said juga berbuat demikian.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Terengganu itu meminta pihak berkenaan berhenti mereka cerita dan membuat tuduhan yang tidak betul semata-mata mahu mencari publisiti memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 yang semakin hampir.

“Berpolitiklah secara matang dan rasional tanpa rekaan cerita fitnah yang tidak benar,” katanya. – MalaysiaGazette