Foto Facebook Perlis United FC.

KUALA LUMPUR – Perlis United FC membuktikan status sebagai pasukan dari Liga M3 bukan halangan untuk mereka melangkah ke pusingan kedua Piala FA.

Ketua jurulatih Perlis United, Azizul Abidin menghamburkan pujian kepada pemain-pemainnya yang mampu mengikut arahan taktikal selain faktor rezeki dan tuah menyebelahi mereka bagi mencipta kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Malah, beliau menyifatkan sepakan penalti PDRM oleh Mirbek Akhmataliev yang diselamatkan penjaga gol, Hairol Fazreen pada minit ke-71 menjadi titik penting dalam perlawanan berkenaan.

“Ini semua berkat usaha pemain-pemain apabila berjaya mengikut perancangan yang diatur apabila mereka dapat memadatkan bahagian tengah untuk menyukarkan gerakan pemain lawan.

“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan walaupun kami ketahui PDRM sebuah pasukan yang bagus, disiplin serta usaha keras pemain membawa kami ke sini.

“Memang rezeki nyata berpihak kepada kami apabila penalti yang dimiliki PDRM dapat diselamatkan penjaga gol.

“Di pusingan seterusnya, kita memang mahu jumpa pasukan yang lebih baik bagi berikan pengalaman kepada pemain muda kerana dengan cara sebegini,mereka boleh lagi meningkat.

“Saya juga mahu rakamkan penghargaan kepada penyokong Perlis yang sentiasa mendokong kami sejak hari pertama berlatih malah ada yang berikan sumbangan peribadi demi kemajuan pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, dua jaringan menarik dari Azrizan Ahmad dan Faizal Kadir, masing-masing pada setiap babak memastikan Perlis United mencipta kejutan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Penjaga gol Perlis United, Hairol Fazreen Abu Hassan, mengakui dia sememangnya mahu menyelamatkan penalti yang diperolehi pasukan lawan selepas mereka berjaya mendahului di separuh masa pertama.

“Dalam situasi itu, saya memang tidak fikir apa-apa kecuali mahu memastikan sepakan penalti itu dapat diselamatkan kerana saya tahu, situasi itu boleh mengubah permainan.

“Memang rasa puas hati kerana berjaya melakukannya malah rakan-rakan begitu berdisiplin sepanjang perlawanan demi memastikan kami mampu muncul sebagai pemenang.

“Sebagai anak jati Perlis, saya sememangnya berbangga kerana dapat membawa pasukan ini mara ke pusingan seterusnya.

“Harap lebih ramai lagi peminat Perlis akan berikan sokongan kepada kami dalam usaha menaikkan kembali nama pasukan di Liga Malaysia,” katanya.

Perlawanan lain menyaksikan satu lagi wakil Liga M3, Manjung City FC hampir melakukan kejutan ke atas pasukan Liga Super, Sri Pahang FC apabila berjaya mengikat lawan seri tanpa jaringan sehingga berakhir masa tambahan namun tewas 5-4 menerusi sepakan penalti. – MalaysiaGazette