Mohamad Fakhrudin menunjukkan barangan samun yang dirampas daripada Geng Naidu.

PETALING JAYA – Geng Naidu yang aktif  dalam aktiviti jenayah pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini tumpas dengan penahanan enam lelaki termasuk tiga warga asing baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata,  polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang disamun oleh dua lelaki ketika berada rumah sewanya di Sri Damansara, pada 27 Februari lalu.

“Dakwa pengadu, suspek dua warga asing datang mengetuk pintu rumah mangsa dengan kuat mengarahkan pengadu membuka pintu rumah untuk pemeriksaan.

“Semasa berada di dalam rumah, suspek telah masuk ke bilik dapur rumah dan mengambil pisau sebelum mengacukannya kepada pengadu dan rakannya yang juga warga asing.

“Rakan suspek pula mengambil tiga buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,050 lalu meloloskan diri,” katanya dalam sidang media kejayaannya di sini.

Bertindak atas aduan mangsa dan maklumat, pada 3 Mac lalu jam lebih kurang 4.30 pagi pasukan polis telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Damansara dan menangkap dua lelaki warga asing berumur lingkungan 30 dan 41 tahun.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek asing membawa kepada rampasan tiga telefon bimbit disyaki hasil samun mangsa dan senjata sebilah parang disyaki digunakan pada kejadian samun 27 Februari lalu.

Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek telah membawa kepada tangkapan seorang warga asing dan tiga lelaki tempatan di kawasan Petaling Jaya.

“Pemeriksaan dilakukan dalam serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki hasil samun dan pecah rumah yang disimpan di dalam sebuah kereta diparkir di kawasan berhampiran.

“Polis juga merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, barangan elektrik, peralatan pertukangan dan sebuah Perodua Alza.

“Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” kata Mohamad Fakhrudin.

Menurutnya, dengan tangkapan semua suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan pecah rumah di daerah ini bagi tempoh Januari lalu hingga Mac ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/457/379 Kanun Keseksaan selain Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). – MalaysiaGazette