Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang guru wanita mengalami kerugian RM277,000 setelah diperdaya sindiket macau scam yang menyamar sebagai pegawai polis, timbalan pendakwa raya dan wakil syarikat insurans dalam kejadian di Raub.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berkenaan menyedari wangnya hilang setelah menyemak baki berjumlah RM128.13.

“Pada 18 Februari lalu, mangsa dihubungi dari Bahagian Penamatan Dan Blacklist, Ibu Pejabat Etika Takaful, Jalan Maarof, Bangsar, KL.

“Pemanggil mengatakan pengadu telah membuat tuntutan insurans di Hospital Columbia Asia Petaling Jaya sebanyak RM68,800 dengan tiga kali tuntutan.

“Mangsa menafikan kemudian disambungkan dan bercakap dengan pegawai polis, dan semakan pihak polis mengatakan pengadu ada terlibat dengan pengubahan wang haram di mana satu waran tangkap telah dikeluarkan di atas nama pengadu,” katanya.

Tambah beliau, mangsa diminta menukar nombor pin kad ATM dengan menggunakan nombor hadapan kad pengenalan pengadu sebagai kata laluan kad.

Selain itu, kata Wazir, sindiket berkenaan meminta mangsa menggabungkan semua wang simpanan mangsa ke dalam satu akaun bagi tujuan pengesahan bahawa kesemua wang  bukan daripada sumber pengubahan wang haram.

Menurut Wazir, mangsa yang menyedari kehilangan RM277,000 cuba menghubungi suspek namun tidak dijawab menyebabkan beliau membuat laporan polis.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette