Wan Hassan Wan Ahmad

ALOR SETAR – Polis akan mempergiatkan pemeriksaan dan rondaan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand bagi membanteras kegiatan jenayah yang dijangka meningkat apabila pintu sempadan negara mula dibuka 1 April depan.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, walaupun nilai ambang kedudukan jenayah negeri menunjukkan penurunan 25 hingga 28 peratus tetapi dari perbezaan tahun ke tahun menyaksikan berlaku peningkatan sebanyak 15 peratus.

“Tahun 2021, indeks jenayah tidak tinggi kerana aktiviti sosial dan perniagaan banyak yang masih belum dibenarkan berikutan pandemik COVID-19. Tetapi, sekarang ia meningkat kerana hampir semua aktiviti sosial dan perniagaan telah beroperasi semula.

“Dijangka, kadar jenayah akan meningkat apabila pintu sempadan negara dibuka semula kerana ramai yang mengalami masalah kewangan akibat COVID-19 dan itu boleh mendorong mereka melakukan jenayah seperti mencuri, meragut dan menyeludup barang terlarang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Hari Polis Ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari dan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, Wan Hassan berkata, polis Kedah juga telah menubuhkan pasukan khas di peringkat IPK sejak sebulan yang lalu yang akan memfokuskan pemeriksaan dan kawalan di sempadan negara.

 

“Lebih 50 anggota di peringkat IPK dan daerah terlibat untuk mengawal sempadan. Kami tidak boleh jangka apa yang akan berlaku selepas dua tahun hidup dalam keadaan pandemik ini, jadi polis memang sentiasa bersedia.

“Pada Ahad ini, saya bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan ke sempadan bersama ketua-ketua jabatan dan agensi lain untuk melihat dan membincangkan perkara yang perlu diberi perhatian sebelum pembukaan 1 April depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, statistik jenayah indeks negeri dari tempoh 1 Januari hingga semalam menyaksikan sebanyak 966 kes telah dicatatkan berbanding 833 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas dan menunjukkan peningkatan sebanyak 133 kes iaitu 15.97 peratus.

“Kegiatan kecurian dan pecah rumah mencatatkan jumlah kes terbanyak berbanding kes jenayah yang lain. Kedah kini berada di tempat ke-11 dalam kedudukan jenayah indeks Malaysia bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Mac,” katanya. – Bernama