Peserta dan pengunjung Karnival Srikandi Cinta Watan 2022 dihiburkan dengan persembahan kesenian.

CYBERJAYA – Mini Karnival Srikandi Cinta Watan 2022 yang berlangsung di Malakat Mall, Cyberjaya baru-baru ini mendapat sambutan di luar jangkaan.

Bertemakan “Membangkit Jati Diri Emas, Memartabat Kegemilangan Peradaban Melayu dan Membangun Ekonomi Wanita Watan”, adalah selari dengan gagasan-gagasan misi cinta watan cetusan Walid Ibrahim Al Malik.

Menurut Sekretariat Karnival Srikandi Watan, penganjuran itu bertujuan memartabat Seni Warisan Islam Melayu Watan, di samping mengeratkan silaturahim dan mahabbah serta memperkasa peranan wanita sebagai tonggak pembentukan generasi emas dalam kekeluargaan.

Ia juga menjadi manifestasi membangkit kesedaran wanita demi membangun ekonomi dan mencipta kejayaan mandiri berasaskan Watan.

“Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz ada menyebut mengenai Islam sangat memuliakan wanita dalam segala sudut dan telah memberi garis panduan yang lengkap tentang peranan dan kedudukan wanita.

“Jika kita menyoroti lembaran sirah, nama-nama wanita tidak asing di samping perjuangan Rasulullah contohnya seperti isteri Rasulullah iaitu Sayyidatuna Khadijah Al-Kubra dan Sayyidatuna Aisyah, kemudian Sayyidatuna Fatimah, Halimatussaadiah, Asma’ Binti Abu Bakar dan ramai lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Antara lain penganjuran karnival itu untuk menjadi manifestasi membangkit kesedaran wanita demi membangun ekonomi dan mencipta kejayaan mandiri berasaskan watan.

Ramai yang berbicara berhubung Cinta Watan, tetapi hakikatnya ia hendaklah mempunyai dasar yang kukuh.

Dalam buku Panduan Cinta Watan oleh Walid Ibrahim Al Malik, penulis telah berjaya menggariskan dasar-dasar penting untuk dijadikan panduan bagi kebangkitan bangsa.

Menurut Walid, cinta watan mesti dibangkitkan melalui pengukuhan tauhid, adab dan keilmuan.

Al-Quran sering menggambarkan kisah Nabi Ibrahim dan ahli keluarganya dalam kejayaan pembuktian kekuatan tauhid (simbolik huruf Alif).

Sementara pelajaran adab dan akhlak banyak disinonimkan pada Nabi Muhammad SAW (simbolik huruf Mim) dan ibrah keilmuan, kekayaan, kekuasaan dinyatakan kepada Nabi Sulaiman a.s (simbolik huruf Sin).

Ketiga-tiga simbolik membentuk kalimah امس (alif mim sin atau boleh dieja emas).

Jati diri emas ini perlu dibangkitkan kembali sebagai perlambangan kekuatan ketauhidan, akhlak dan cinta serta kekuasaan, keilmuan dan kekayaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama khas sempena Majlis Pelancaran Buku Cinta Watan (Karya Walid Ibrahim Al Malik).

Beliau juga menegaskan bahawa perjuangan memartabatkan wanita tidak berkiblatkan femenisme yang lebih kepada mempromosikan satu gaya hidup yang jauh dari ikatan agama dan adat ketimuran.

Penganjur turut mempromosikan produk Bumiputera sepanjang Karnival Srikandi Cinta Watan 2022.

Rasulullah SAW juga telah mencaturkan peranan dan posisi sesuai pada kaum wanita yang boleh dihayati dalam kisah sirah.

Beliau juga menyeru kepada Srikandi Watan yang ada agar bergerak pantas mengikut panduan Tuhan untuk mengekang Gerakan femenisme dan libelarisme yang menggunakan pelbagai wajah termasuk bertopengkan atas nama agama.

Dalam ucapan beliau juga ada menyebut mengenai matan yang ke-20 Panduan Cinta Watan berkenaan masa depan negara terletak di tangan wanita dan pentingnya menjaga, memuliakan, mendidik dengan ketauhidan, adab dan kecintaan pada diri wanita.

Kerana kehebatan sesebuah bangsa dan negara bermula dari kaum wanita yang ada.

“Para wanita mesti berpegang dengan empat perkara ini iaitu jadikan sifat malu sebagai mahkota, agama sebagai benteng diri, sifat kasih sayang sebagai senjata serta kebijaksanaan dan keilmuan sebagai kenderaan.

Lipatan sejarah telah merakamkan pengorbanan srikandi yang masyhur di alam Melayu seperti Tun Kudu, Tun Teja, Tun Fatimah, Paduka Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, Mahsuri dan Raja Hamidah Riau-Lingga yang memiliki pegangan agama yang tinggi dan semangat juang luar biasa yang seharusnya dijadikan contoh role model bagi wanita kita” ujarnya lagi.

Antara pengisian forum bertajuk, Menjejaki Asal Usul DNA Bangsa Melayu, Membangkit Jati Diri Emas Pencetus Kebangkitan Cinta Watan, Menelusuri Sirah Tokoh Srikandi Islam, Sendi Kekuatan Srikandi Melayu dan Memperkasa Wanita Bangkit Ekonomi.

Antara panelis yang terlibat ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (USM), Prof. Dr. Zafarina Zainuddin; Penulis Miftahul Malayu Sejarah Islam Alam Melayu, Bonda Tun Suzana Tun Othman; Penulis Buku Wali Wanita Teragung, Ustazah Ateh Yani; Ketua Srikandi DSSM, Zahara Hatan; dan Coach Nora Zyan dari Aspires Sdn. Bhd.

Antara acara menarik ialah pembukaan tirai majlis dengan alunan selawat yang dipimpin Nurul Syahida diikuti bicara tauhid, persembahan syair Alam Melayu dan tarian tradisional, persembahan seni silat srikandi Melayu, memanah, pameran kesenian Melayu.

Mini karnival ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai pertubuhan NGO wanita dan aktivis kemanusiaan. – MalaysiaGazette