Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus komited dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam negara.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, melangkah ke-215 tahun usia penubuhan PDRM pada hari ini, seluruh warga PDRM memperbaharui sumpah taat setia kepada raja dan negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara, terus terpelihara.

“Seluruh warga PDRM akan melaksanakan tugas secara profesional dan terus memperkasakan integriti demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, seluruh warga PDRM sentiasa Sedia Berkhidmat dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Hadir pada majlis Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Mohamed Ismail Said.

Tambah Acryl Sani, segala pengorbanan, jerih perih dan titisan darah pahlawan-pahlawan terdahulu demi keamanan yang dikecapi kini akan terus diperjuangkan dan diwariskan kepada generasi pelapis Sang Saka Biru.

Katanya, dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan perolehan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini kepolisan moden.

“Untuk itu, saya bagi pihak PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan dan KDN yang amat prihatin akan keperluan PDRM.

“Di samping itu, Kerajaan juga telah memperuntukkan dana yang besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seisi keluarga dan para pesara polis,” ujarnya.

Acryl Sani berkata, PDRM bersedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan demi mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette