Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penggunaan katil bagi kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya sudah mencapai tahap 100 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, lima negeri yang menunjukkan penggunaan katil bagi kes kritikal Covid-19 ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 67 peratus, Selangor (59 peratus), Perlis (55 peratus), Johor (53 peratus) dan Kelantan (52 peratus) sehingga semalam.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Katanya, bagi penggunaan katil bukan ICU di lapan negeri pula menyaksikan Selangor dan Putrajaya menunjukkan tertinggi iaitu masing-masing 79 dan 72 peratus.

“Enam negeri lagi menunjukkan penggunaan secara terkawal iaitu Kuala Lumpur (64 peratus), Terengganu (60 peratus), Melaka (59 peratus), Perak (57 peratus), Sarawak (55 peratus) dan Negeri Sembilan (54 peratus).

“Manakala pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 195 kes dengan peratusan penggunaan ventilator 22 peratus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau turut menjelaskan terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

Ini katanya, memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

Pada masa sama, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semalam, sebanyak 1,264 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 487 kes atau 38.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 777 kes atau 61.5 peratus adalah kategori 1 dan 2. – MalaysiaGazette