MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pemandu selepas mengaku bersalah membunuh rakannya tanpa niat dalam satu pergaduhan demi mempertahankan maruah isteri dan anak-anaknya kira-kira tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Melaka, Maidzuara Mohammed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, S Saravanan, 44, membuat pengakuan itu bagi pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan di Kompleks Mahkamah Melaka di sini hari ini.

Hukuman penjara itu diarah bermula daripada tarikh tangkap pada 18 Ogos 2019 selain memerintahkan semua eksibit dilupuskan pihak polis.

Dia didakwa menyebabkan kematian P.S Satiaseelan, 41, di Tasek Taman Murai Jaya, Durian Tunggal dalam daerah Alor Gajah, kira-kira jam 10.30 malam, 6 Ogos 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan asal, Saravanan, didakwa membunuh rakannya itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Maidzuara dalam penghakimannya berkata, terdapat beberapa perkara dan senario yang diambil kira sebelum dan selepas pergaduhan pada 6 Ogos 2019 yang dimulakan mangsa apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap isteri dan anak tertuduh ketika dalam keadaan mabuk.

Mahkamah juga, katanya, telah mendengar hujah metigasi oleh peguam tertuduh yang antara lain berhujah mangsa tiba-tiba telah bercerita mengenai hubungan antara tertuduh dan isterinya dan anak-anak tertuduh menggunakan perkataan kesat dan menjatuhkan maruah isteri tertuduh.

“Menurut hujahan peguam, kedua-dua tertuduh dan mangsa masing-masing memegang topi keledar dan tertuduh telah pukul mangsa sekali mengenai bahagian antara muka dan tengkuk.

“Tertuduh telah menaiki ambulans dan pergi ke hospital bersama mangsa akan tetapi pada hari sama mangsa lari dari hospital dan tidak mendapatkan rawatan lain dan selepas mangsa balik ke rumah, tertuduh telah membawanya ke klinik serta makanan kepada mangsa.

“Tertuduh juga dalam hujahan peguam telah membuat laporan polis pada hari sama dan menurut laporan bedah siasat, sebab kematian mangsa pada pada 15 Ogos adalah akibat kecederaan dijangkiti kuman disebabkan mangsa mengabaikan rawatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau memberitahu, setelah melihat fakta-fakta kes dikemukakan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap tertuduh daripada tarikh ditangkap iaitu 18 Ogos 2019 dan memerintahkan semua eksibit dilupuskan pihak polis.

Terdahulu, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamad Rasad, manakala tertuduh diwakili Peguam S. Paul Krishnaraja. – MalaysiaGazette