KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di pusat hiburan terkenal yang menyajikan wanita warga asing di Ipoh Perak, Khamis lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dari jumlah itu, 15 adalah warganegara China, Vietnam (9), Bangladesh (3) dan tiga lagi rakyat tempatan.
“Operasi yang bermula pada jam 11.23 malam itu diserta 43 Pegawai Imigresen pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan Dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Perak.
“Seramai 58 warganegara Malaysia dan 28 warga asing diperiksa dari pelbagai warganegara yang berumur dalam lingkungan antara 25 tahun hingga 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya berdasarkan maklumat awam dan risikan yang telah dijalankan hampir sebulan lalu.
“Semasa serbuan dilakukan, wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan cuba lari dan bersembunyi di bilik-bilik rahsia yang dibina khas bagi mengaburi pegawai penguatkuasa.
“Ini termasuk bersembunyi di atas syiling dan bumbung bangunan pusat hiburan namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan kebijaksanaan anggota serbuan,” katanya.

Semasa serbuan juga, terdapat pelanggan cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang pasukan melakukan penggeledahan namun tindakan tersebut berjaya dipatahkan.
“Modus Operandi yang digunakan oleh sindiket adalah menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelanggan tetap sahaja dengan membuat tempahan melalui panggilan telefon,” katanya.
Menurutnya, pelanggan dikenakan bayaran di antara RM800 sehingga RM10,000 untuk tempahan bilik mengikut kategori.
“Manakala untuk tempahan wanita warga asing bayaran dikenakan sebanyak RM150 sejam,” katanya.
Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan dibawa ke Jabatan Imigresen Negeri Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ipoh, Perak untuk tindakan lanjut.
Manakala kesemua pelanggan yang diperiksa dalam operasi ini dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
JIM akan memastikan apabila pintu sempadan dibuka semula, pada 1 April 2022 hanya pelancong atau pelawat tulen yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan sahaja dibenarkan untuk memasuki Malaysia. – MalaysiaGazette
















