Abdul Rahman Mohd Nordin.

MELAKA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa identiti ahlinya yang belum disabitkan kesalahan rasuah tidak didedahkan kepada umum.

Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, tindakan mendedahkan itu hanya akan menyebabkan individu yang baharu dituduh itu termasuk keluarganya berada dalam keadaan tertekan.

“Mereka yang dituduh itu tak payahlah kita hebahkan identitinya sebab kadang-kadang boleh buatkan dia (tertuduh) rasa tertekan dengan terutama imejnya, maruahnya dan keluarga kerana dia masih belum dihukum bersalah.

“Dalam kes yang tak mengaku bersalah, ia akan makan sampai lima hingga enam tahun nak berbaiki stigma dalam masyarakat terhadap tertuduh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Memahami Keperluan Dan Cabaran Penjawat Awam Dalam Persekitaran Norma Baharu Anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Ditanya bagaimana CUEPACS melihat kes rasuah yang berlaku dalam kalangan 1.6 juta ahlinya di seluruh negara, Abdul Rahman berkata, kesatuan turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes yang menjejaskan imej negara itu.

“Ini masalah yang kita hadapi, masalah ini (rasuah) bukan sahaja di bawah (gred bawahan) tetapi di atas (pegawai atasan) pun ada juga yg terlibat dan ini akan merosakkan imej Malaysia.

“Kita memang bimbang bila nampak peningkatan rasuah itu,” katanya. – MalaysiaGazette