Gambar Hiasan. Foto: Facebook Unicef

KUALA LUMPUR – Ketika berada di Warsaw, Poland awal bulan ini, Dr Muruga Raj Rajathurai terpanggil untuk menjadi sukarelawan perubatan di pusat perlindungan pelarian Ukraine.

Beliau berkhidmat sebagai sukarelawan di Stesen Sentral Warsaw selama 11 hari, memberi rawatan perubatan kepada beribu-ribu rakyat Ukraine yang menyeberang ke Poland untuk melarikan diri daripada operasi ketenteraan Rusia.

Berkongsi pengalamannya, Dr Muruga berkata, disebabkan bimbang dengan keselamatan tiga anaknya dan dua anak abangnya yang menuntut di Universiti Perubatan Warsaw, beliau memutuskan untuk ke Poland pada 3 Mac.

“Selepas memastikan mereka selamat, anak saya cerita ada ramai pelarian Ukraine mula datang ke Stesen Sentral Warsaw untuk mencari perlindungan.

“Jadi saya ambil keputusan untuk berkhidmat sebagai sukarelawan perubatan dari 8 hingga 19 Mac,” kata doktor di sebuah poliklinik di Johor itu kepada Bernama.

Dr Muruga yang juga Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, amat menyedikan melihat keadaan pelarian, terutamanya kanak-kanak yang hanya berbekalkan sedikit barang keperluan terpaksa berpisah dengan keluarga untuk menyeberang ke Poland.

“Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila semua lelaki Ukraine berumur 18 hingga 60 tahun dilarang meninggalkan negara mereka buat sementara.

“Ramai meninggalkan Ukraine dan melintasi sempadan untuk mencari perlindungan di Poland dengan meninggalkan bapa, anak lelaki, abang, suami mereka di rumah. Tiada komunikasi antara mereka,” katanya.

Beliau berkata, mereka melarikan diri tanpa sebarang dokumen peribadi atau ubat-ubatan yang diperlukan.

“Kebanyakan pelarian alami tekanan dan kebimbangan kerana tidak pasti bila boleh balik semula ke tanah air mereka.

Sekurang-kurangnya 1,000 pelarian menerima rawatan perubatan di pusat itu setiap hari.

Menurut Dr Muruga, sepanjang masa, sukarelawan di pusat itu termasuk beliau dan pasukan perubatannya berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Saya juga tersentuh dengan usaha kemanusiaan dan keprihatinan warga Poland dalam membantu pelarian Ukraine di negara mereka,” katanya yang mewarisi minat bapanya, C. Rajathurai yang juga terlibat dengan aktiviti sosial.

Anak-anaknya turut membantu usaha mengumpul dana untuk pelarian dengan melibatkan diri bersama badan antarabangsa seperti Persatuan Palang Merah.

“Selain itu anak lelaki saya juga membantu mendapat dan mengagihkan makanan setiap hari kepada pelarian,” katanya yang kembali ke Malaysia pada 21 Mac.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 1,000 orang awam terbunuh di Ukraine dan 1,650 dilaporkan cedera, manakala lebih 3.67 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara jiran, sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan pada 24 Feb. – Bernama