Mohd Hairi

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon merupakan antara 10 muka baharu yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri yang baharu.

Mohd Hairi yang memegang portfolio Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia menyifatkan ia sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalasnya.

Katanya, beliau akan berusaha bersama barisan Exco dengan sokongan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk berkhidmat kepada negeri dan bangsa Johor.

“Amat berat, saya akan fokus kepada pemulihan ketika pandemik Covid-19 terutama kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan golongan peniaga kecil termasuk golongan belia.

“Projek-projek khas berkaitan belia, sukan dan pembangunan usahawan untuk tahun ini akan dilihat semula dengan perancangan lebih baik untuk pembangunan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin menyatakan demikian pada pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar, hari ini.

Dalam pada itu, Tian Soon yang dilantik  sebagai Exco Kesihatan dan Perpaduan berkata, tumpuan pasti akan diberikan kepada fasa endamik dan persiapan untuk pembukaan sempadan Malaysia- Singapura pada 1 April ini.

Tian Soon

“Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat kebangsaan, jabatan dan pegawai berkaitan di peringkat negeri untuk membuat perancangan bagi negeri Johor beralih kepada fasa endemik.

“Seterusnya bagi pembukaan sempadan Malaysia- Singapura, saya akan pastikan Johor mampu melakukan persiapan yang terbaik untuk keluar masuk pelawat di pintu masuk negara terutama Tambak Johor,” kata ADUN Yong Peng itu.

Sementara itu, Exco Pelacongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, K Raven Kumar berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan itu berkata, beliau akan berusaha memberi khidmat yang terbaik kepada negeri dan bangsa Johor. – MalaysiaGazette