Mohd Hairi menyertai Program Ziarah Pusara Gotong Royong Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia di Jalan Kebun Teh di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Satu jawatankuasa khas bakal ditubuhkan kerajaan Johor bagi menilai prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kumpulan pekerja Singapura dan Malaysia susulan pembukaan sempadan darat kedua-dua negara 1 April ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Sah berkata, keputusan pelaksanaan SOP itu diumumkan dalam waktu terdekat selepas selesai perbincangan dengan pelbagai agensi hari ini.

Pelaksanaan SOP itu turut mengambil kira bilangan  keseluruhan pekerja kedua-dua negara.

“Saya akan melihat pada pagi ini bersama sama jabatan dibawah agensi saya khususnya Jabatan Sumber Manusia saya. Perkara itu akan kami dengar terlebih dahulu dan akan teliti kaedah membabitkan SOP di bawah agensi saya.

“Jadi, setakat ini saya tidak boleh komen terlalu detail kerana baru angkat sumpah semalam dan terima kasih kepada agensi yang melihat keberadaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Ziarah Pusara Gotong Royong Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia di Jalan Kebun Teh pagi ini.

Program berkenaan disertai lebih 100 sukarelawan Southern Volunteer (SV) mengindahkan kawasan perkuburan menjelang bulan Ramadan.

Program itu dijalankan di seluruh Johor dengan penyertaan keseluruhan kira-kira 2 ribu sukarelawan.

Baru-baru ini, Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Selari dengan pengumuman itu, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid -19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, tiga hari lalu.- MalaysiaGazette