Facebook TRW Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – TRW Kelantan FC menafikan khabar angin yang berlegar di media sosial yang mendakwa pemain kelab itidak menerima gaji selama tiga bulan.

Kelantan dalam satu kenyatan di laman media sosial rasminya menegaskan, gaji pemain tidak pernah tertunggak selepas ahli perniagaan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengambil alih pasukan itu.

“Pihak pengurusan TRW Kelantan FC ingin membuat kenyataan rasmi berkaitan isu dakwaan pemain TRW Kelantan FC tidak menerima pembayaran gaji selama tiga bulan yang tular di media sosial hari ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan baharu Kelantan sepenuhnya menafikan dakwaan ini dan pihak kelab meminta pemilik akaun Facebook: AirCo Maigel atas nama Normartil Harith Haigel Bin Nordin memberi bukti yang sahih bagi kenyataan seperti dibawah: “3 bulan ch bossku…player sapa mitok pinjam duit nga ore lain. kikik™”

“Untuk makluman, bayaran gaji para pemain TRW Kelantan FC tidak pernah tertunggak di bawah pengurusan baharu ini. Satu Letter of Demand (LOD) dari pihak pequam kelab TRW Kelantan FC sudah dihantar kepada pihak berkenaan bagi menangani isu fitnah dan demi menjaga imej kelab.

“Pihak kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang membangkitkan isu negatif menerusi penyebaran maklumat yang boleh boleh menjatuhkan imej kelab.

“Sebarang maklumat yang dikongsi perlulah tepat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah antara penyokong terhadap pengurusan TRW Kelantan FC,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Pada aksi Liga Premier menentang UiTM FC baru-baru ini, Kelantan berjaya mencatat kemenangan 3-0 dimana gol dijaringkan oleh Nurshamil Abdul Ghani, Farhan Roslan dan Kervens Belfort.

Skuad bimbingan Rizal Zambery Yahya itu kini sedang menduduki puncak carta Liga Premier dengan kutipan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan dalam tiga perlawanan. – MalaysiaGazette