Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir lokasi pameran dan persidangan Defance Service Asia (DSA) yang ke-17 dan National Security (NATSEC) di MITEC, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 27 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina akan mengadakan pertemuan khas untuk menyemak semula pengukuhan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein berkata, pertemuan dengan rakan sejawatnya itu penting untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi dan pantai Timur Sabah.

“Saya ingin mengumumkan di sini bahawa saya akan mengadakan mesyuarat TCA dengan rakan sejawat saya iaitu Bapak Probowow Subianto dari Indonesia dan juga Setiausaha Pertahanan Filipina, Deflin N. Lorenzana dari Filipina dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan dan Keselamatan Asia (DSA) 2022 yang akan membuka tirai secara rasminya pada Isnin ini.

“Dalam perjumpaan ini kami tiga menteri akan duduk berbincang untuk menyemak semula perjanjian TCA antara tiga negara ini.

“Kerjasama TCA di antara ketiga-tiga negara ini pada kali ini bertujuan untuk duduk bersama bagi memperkukuhkan aspek keselamatan di perairan serantau mengelak segala ancaman yang mendatang di perairan  Laut Sulu.

“Cuma kali ini saya merasakan perjumpaan ini akan berfokuskan kepada proses rejuvenasi dan saya dan rakan sewajat dari Filipina memutuskan bahawa ini peluang terbaik untuk kita duduk bersama dan menyemak semula bagi memperkukuhkan lagi kerjasama (TCA) terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan persiapan terakhir Pameran DSA 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Pameran DSA dalam fasa pandemik Covid-19 kali ini membabitkan penyertaan 50 buah negara dan 25,000 peserta dalam dan luar negara.

Turut bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Sembrong itu juga memaklumkan perbincangan TCA kali ini akan lebih fokus kepada persiapan daripada segi pertahanan yang boleh diperluaskan oleh keselamatan ketiga-tiga negara.

Sebelum ini, katanya,Malaysia, Indonesia dan Filipina berhadapan dengan ancaman keganasan di perairan Filipina, Indonesia dan Malaysia.

“Untuk menavigasi geopolitik kuasa besar di perairan kita, dari aspek keselamatan dalam negara kita akan berbincang dengan Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri) dan rakan sejawat khususnya membabitkan soal penculikan dan tebusan, keganasan di perairan kita yang memerlukan kerjasama ketiga-tiga negara untuk memeranginya secara berani.

“Kerjasama ini sudah lama dilaksanakan cuma kami nak semak semula atas objektif untuk menambahbaik dan mengukuhkan kerjasama itu dengan menggunakan pengawasan udara membabitkan tentera udara ketiga-tiga negara dan juga eksesais di darat yang turut akan dibincangkan mendalam,” tegasnya.-MalaysiaGazette