Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) berputih mata apabila hajat untuk memiliki iPhone tidak tercapai malah menanggung kerugian RM36,300 akibat ditipu sindiket pembelian telefon bimbit baru-baru ini.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) berputih mata apabila hajat untuk memiliki iPhone tidak tercapai malah menanggung kerugian RM36,300 akibat ditipu sindiket pembelian telefon bimbit baru-baru ini.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun terpedaya selepas melihat iklan menerusi Instagram dan berhubung melalui Whatsapp.

“Mangsa telah melihat iklan jualan telefon bimbit jenama I Phone di Instagram semasa berada di kampus Gambang pada 7 Mac lalut elah berminat untuk membeli sebuah telefon dengan harga RM1,000.

“Pada hari yang sama pengadu telah membuat pembayaran ke akaun yang di beri namun pengadu perlu membayar pelbagai lagi kos lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wazir penuntut itu dikehendaki melakukan pembayaran seperti insuran, kastam, untuk membuka tempahan telefon dan kos penghantaran yang berjumlah RM35,300.

“Mangsa mula membuat pembayaran bermula dari 8 Mac sehingga 15 Mac lalu ke dalam empat akaun berbeza,” katanya lagi.

Bagaimanapun sehingga aduan dibuat, pengadu masih tidak terima telefon bimbit yang telah dibayar itu.

Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette