Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir lokasi pameran dan persidangan Defance Service Asia (DSA) yang ke-17 dan National Security (NATSEC) di MITEC, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 27 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Satu pelan utama yang lebih komprehensif membabitkan strategi pertahanan dan keselamatan dalam negara akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerangka pelan itu merupakan hasil kolaborasi antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan yang akan menjuruskan sepenuhnya kepada isu keselamatan serta pertahanan negara pada masa depan.

Pelan menyeluruh itu, katanya, membabitkan kawalan sempadan di darat dan maritim termasuk laluan tikus sebagai penyelesaian terbaik untuk memperingkatkan sistem pertahanan keselamatan di dalam negara daripada diceroboh.

“Dari segi kawalan sempadan pertahanan negara, kita tak boleh hanya serahkan kepada satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Pertahanan semata-mata sebaliknya kita kena bergabung tenaga dan kerjasama yang lebih padu.

“Anda boleh melihat kepada Ops Benteng yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu, apa yang kita lakukan telah membuktikan kejayaan gabungan padu kedua-dua kementerian dalam penguatkuasaan keselamatan negara.

“Bila kita nak mempertahankan sempadan negara kita yang begitu berhutan, kita perlu semua pihak untuk bekerjasama dan itu motif sebenar kita akan hasilkan satu master plan yang sangat komprehensif untuk sempadan, pertahanan dan keselamatan dalaman kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussain selepas meninjau persiapan terakhir penganjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Larut, pihaknya juga akan bekerjasama menyiapkan pelan utama itu dan kemudian akan diserahkan kepada Kabinet untuk diteliti.

“Penelitian mendalam itu adalah sesuatu yang boleh membantu bukan hanya membabitkan keselamatan di Sabah tetapi juga tentang bagaimana pula dengan sempadan Kalimantan dan Sarawak?

“Bagaimana dengan sempadan antara Thailand dan (negeri) Semenanjung? Bagaimana pula di Selat Melaka dan lorong-lorong tikus yang masuk dari Batam?

“Semua ini kita kena melihat adalah master plan yang komprehensif yang kita gabungkan antara pertahanan dan keselamatan dalam negeri. Insya-Allah dengan kerjasama yang kita tunjukkan, kita akan hasilkan dengan penyelesaian terbaik untuk masa depan negara,” ujarnya.

Mengulas perkara yang sama, Hishamuddin berkata, beliau dan Hamzah terlebih dahulu akan melaporkan perancangan yang dibuat mengenai pelan terbabit kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya ia disebabkan majlis itu juga membabitkan agensi perisikan, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Percayalah, gandingan dan gabungan disebut Hamzah akhirnya akan dilaporkan dan diputuskan hala tujunya oleh pihak tertinggi dalam negara kita,” tegasnya.-MalaysiaGazette