Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

SHAH ALAM – Polis tidak akan bertolak ansur dengan semua golongan yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Itu tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan pihaknya memantau semua golongan yang disyaki terlibat dengan dadah untuk dibanteras.

“Yang pasti yang sering saya tegaskan JSJN tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti dadah pasti kita akan tangkap tidak kira latar belajang, ustaz, tok guru, ahli politik, penjawat awam, kita akan tangkap buka kertas siasatan untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Jangan kita fokus kepada artis sahaja semua ada. Bila kita tengok latar belakang yang kita tangkap ada penjawat awam, cikgu, pensyarah ada artis, ahli politik, semua ada,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Menyedari aktiviti dadah dalam kalangan artis bukan benda baharu Ayob memberi jaminan pihak polis tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan tersebut.

“Tidak ada skuad khas pantau mana-mana golongan tapi kita pantau semua orang yang terlibat kita akan tangkap,” tambahnya.

Baru-baru ini, penyanyi nasyid yang ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara dipercayai tidak terbabit dalam aktiviti memproses dadah mahu pun pengedaran.

Sebaliknya polis mendapati pokok ganja yang ditemui itu adalah untuk kegunaannya sendiri.

Polis tidak menolak kemungkinan ia diperoleh daripada pembekal secara dalam talian.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas penyanyi kumpulan Nasyid tanam pokok ganja dalam rumah direman tujuh hari