Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tiga kiri) menunjukkan mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai sebanyak RM 4.172 juta pada sidang media mengenai kejayaan rampasan barang tersebut di Stor Barang Rampasan IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket menjual bunga api dan mercun yang menjadikan rumah dan kawasan persendirian sebagai tempat simpanannya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei ini akhirnya terbongkar.

Sindiket yang aktif selama dua tahun itu di Sentul itu tumpas apabila diserbu polis pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan itu dilakukan di dua lokasi berlainan di sekitar kawasan Kepong.

Serbuan itu dilakukan oleh Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai sebanyak RM 4.172 juta pada sidang media mengenai kejayaan rampasan barang tersebut di Stor Barang Rampasan IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

“Hasil serbuan polis berjaya menahan lima lelaki yang disyaki dalang sindiket menyimpan dan menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api haram yang dirampas itu.

“Nilai rampasan itu dianggarkan bernilai RM4.17 juta,” katanya dalam sidang media kejayaan itu di Stor Barang Kes IPD Sentul di sini hari ini.

Tambah Eng Lai, kesemua suspek itu adalah berusia lingkungan antara 21 hingga 51 tahun.

Siasatan awal mendapati kegiatan penyimpanan di kawasan perindustrian dan rumah teres dua tingkat.

“Modus operandi mereka adalah menyeludup masuk mercun melalui laluan laut di Pelabuhan Klang sebelum disimpan di dua premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan yuang disasarkan.

“Pihaknya berjaya merampas sejumlah 1,059 kotak mercun dan 35 guni berisi mercun, wang tunai berjumlah RM12,900 serta enam telefon bimbit pelbagai jenama disyaki milik kesemua suspek tersebut.

“Mercun dan bunga api itu disasarkan jualan dalam pasaran Lembah Klang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri dan bekalan dipercayai dibeli dari China.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai sebanyak RM 4.172 juta pada sidang media mengenai kejayaan rampasan barang tersebut di Stor Barang Rampasan IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MAC 2022.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala tiga lagi suspek tiada memiliki sebarang rekod lampau dan kesemua mereka direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran dan penjualan mercun secara haram menyalurkan kepada polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/85 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.-MalaysiaGazette