Villa Ranting boleh memuatkan 100 tetamu bagi program berbuka puasa.

KUANTAN – Rumah kayu berusia 130 tahun terletak di tengah-tengah bandar raya ini dijadikan lokasi strategik bagi program Iftar Amal Ramadan Dapur Infaq pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, projek mengutip dana pertubuhan Dapur Infaq dijalankan menerusi jual Iftar Amal Ramadan bermula 5 April ini.

Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

Rumah papan lama tetapi masih kukuh dan menjadi sejarah kerana dahulunya dijadikan Pusat Informasi Pelancongan Kuantan yang terletak berhampiran Kompleks Teruntum dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Kini rumah ini dikenali sebagai Vila Ranting mampu memuatkan 100 pengunjung untuk berbuka puasa di sini bagi projek iftar amal ini.

“Syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Dapur Infak Ummah kerana dapat mengajurkan jualan iftar dengan harga berpatutan, dengan makan yang sedap disakikan serta pelbagai menu di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette sejurus selesai sesi mencuba makanan yang bakal disajikan kepada pengunjung di vila berkenaan hari ini.

Justeru Shahniza menyeru badan korporat dan individu untuk terus menyokong usaha kerja murni yang dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Villa Ranting jadi lokasi Iftar Amal Ramadan Dapur Infaq di Kuantan, Pahang.

Sementara itu Pengerusi Dapur Infaq Ummah, Badrul Kamili Kamaruddin berkata, program berkenaan untuk mencari dana mengisi tabung pertubuhan dan separuhnya lagi dikembalikan kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Sejajar dengan amalan bersedekah semasa bulan Ramadan, pasti ramai yang ingin menghulurkan sumbangan dalam membantu mereka yang memerlukan maka platform Iftar Amal Ramadan memberi mereka peluang dengan harga berpatutan.

“Kita boleh bersedekah dengan memberikan hidangan berbuka puasa buat orang lain yang berpuasa, pelbagai menu seperti rendang daging ayam percik, lala goreng berlada, sambal sotong ikan pari asam pedas,” kata Badrul.

Tambahnya, menu istimewa disediakan ialah kambing bakar yang dibakar menggunakan arang dan aroma menu yang dihidang bersama sos lada hitam bakal menambat hati pelanggan.

Iftar Amal Ramadan Dapur Infaq bermula 5 April sehingga 29 April ini dan pihak penganjur menggalakkan tempahan awal kerana hanya menyediakan kapasiti 100 orang setiap hari.

Harga yang ditawarkan berpatutan dengan RM 45 bagi dewasa, RM 35 bagi kanak-kanak manakala percuma kepada mereka di bawah enam tahun.

Dalam pada itu, Dapur Infaq meneruskan projek memberi makan kepada golongan rentan di daerah ini  sebanyak 300 pek agihan dibuat setiap hari awal pusasa sehingga 28 Ramadan dengan aneka lauk berbeza setiap hari.

Badrul turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan boleh dibuat melalui akaun Bank Rakyat 1100112829 atas nama Pertubuhan Dapur Infaq Ummah atau hubungi 0168841894. – MalaysiaGazette