Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa individu yang belum divaksin terutamanya warga emas dan yang mempunyai komorbiditi supaya tidak memperjudikan nyawa mereka.

Golongan berkenaan perlu segera mendapatkan vaksin untuk perlindungan maksimum terhadap Covid-19, kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai.

Menurutnya walaupun gejala Covid-19 dengan varian Omicron kebanyakannya ringan, ia tidak selalu berlaku apatah lagi jika sistem imun semula jadi seseorang itu lemah.

“Masih ada kemungkinan gejala yang teruk apabila dijangkiti virus, walaupun mereka telah divaksinasi, apatah lagi mereka yang belum menerima suntikan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh juga mengingatkan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi supaya tidak berlengah lagi dan berjumpa doktor keluarga mereka jika mempunyai sebarang ketidakpastian.

Menurutnya, langkah ProtectHealth menyediakan perkhidmatan vaksin di rumah kepada warga emas yang tidak dapat pergi ke pusat vaksin amat dihargai namun mungkin sudah terlambat bagi orang ramai menggunakan perkhidmatan ini dalam masa yang singkat.

“Walaupun warga emas itu mungkin berada di rumah sendiri atau pusat jagaan, penjaga perlu hadir semasa vaksinasi,” katanya.

Selain itu, katanya, bukti telah menunjukkan mereka yang telah divaksinasi dengan dua dos vaksin Sinovac memerlukan dos penggalak untuk memastikan tahap imuniti yang mencukupi terutamanya mereka yang berumur serta yang mempunyai komorbiditi. – MalaysiaGazette