Barang rampasan hasil empat serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang pada 24 Mac lalu.

KUANTAN – Dua beradik dipercayai dalang sindiket dadah antara empat individu yang ditahan dalam empat serbuan berasingan polis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang ditahan berusia antara 32 hingga 42 tahun dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Kempat-empat serbuan dilakukan pada hari yang sama bermula pukul 5 petang sehingga 11.30 malam telah merampas dadah dan sitaan harta ialah RM636,092.

“Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya merampas dadah berjumlah RM76,164 iaitu 2,274.25 gram heroin bernilai RM30,474 dan 1,269.15 gram bernilai RM45,690.

“Manakala nilai sitaan harta pula berjumlah RM559,928 membabitkan wang tunai berjumlah RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal bernilai RM440,100, 19 jam tangan berharga RM16,500 dan barang kemas bernilai RM12,078,” katanya dalam sidang medianya hari ini.

Nilai rampasan sitaan harta pula berjumlah RM559,928 membabitkan wang tunai berjumlah RM91,250, tiga kereta dan lapan motosikal bernilai RM440,100, 19 jam tangan berharga RM16,500 dan barang kemas bernilai RM12,078

Menurut siasatan awal, sindiket berkenaan dipercayai memperoleh bekalan heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda sekitar daerah ini.

“Dengan penahanan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda sekitar Kuantan yang didalangi warga tempatan.

“Jumlah rampasan heroin tersebut boleh dibekalkan kepada 4,548 penagih manakala syabu boleh dibekal 2,538 penagih,” katanya lagi.

Sidang media di IPK Pahang hari ini

Kesemua suspek tidak bekerja itu telah  ditahan dan direman selama seminggu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 26 Mac lalu hingga 1 April ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 398B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan atau aktivite dadah boleh di salurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang di talian 09-5051999 sambungan 2202.

Selain itu informasi boleh disalurkan dengan menghubungi bilik operasi 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang ditalian  09-5052287 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette