Ismail Abdul Mutalib

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mewujudkan Jawatankuasa Task Force bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku pada 17 Jun 2021.

Jawatankuasa itu diketuai Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di bawah KPKT dan dianggotai pelbagai agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib berkata, tujuan jawatankuasa itu adalah untuk membincang dan mencari jalan penyelesaian merentas jabatan dan agensi bagi isu banjir kilat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jawatankuasa ini telah mengenal pasti punca banjir kilat adalah seperti sistem perparitan yang telah uzur, rosak dan tidak sistematik.

“Jawatankuasa ini juga telah menyediakan draf pelan tindakan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan PBT bagi tempoh lima tahun (2021-2025) untuk dilaksanakan oleh KPKT melalui JKT, JPS, JKR, SUK Negeri dan PBT,” katanya pada sidang Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail, antara pelan tindakan yang telah digariskan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan perindustrian adalah menaik taraf sistem saliran lama atau yang tidak sistematik berdasarkan senarai hotspot banjir kilat dengan kaedah lebih mesra alam.

Tindakan lain ialah mengemas kini dan menyelaras inventori sistem saliran yang merangkumi hak milik, tanggungjawab menyenggara, lokasi dan butiran terperinci yang berkaitan bagi memudahkan kerja penyelenggaraan di kawasan PBT.

“Tindakan melaksanakan hebahan kempen kesedaran awam dalam media massa dan sosial bagi meningkatkan tahap kesedaran awam juga antara langkah yang diambil.

“Pelan tindakan bagi mengelakkan banjir di kawasan tapak projek pula adalah dengan meningkatkan tindakan penguatkuasaan di peringkat PBT bagi kawalan hakisan dan enapan selaras dengan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) daripada JPS,” katanya.

Beliau berkata, semua keperluan teknikal dan langkah mitigasi bagi menyediakan sistem perparitan yang teratur dalam pelan Kebenaran Merancang (KM) dan keperluan rekabentuk kejuruteraan dalam Pelan Jalan dan Parit telah digariskan dengan terperinci dalam Manual OSC 3.0 Plus. – MalaysiaGazette