Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Prosiding pengubahan wang haram membabitkan wang RM9.5 juta di Mahkamah Tinggi yang membabitkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini ditunda esok.

Ini kerana saksi ke-6, bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad mengambil cuti sakit (MC) pada hari ini.

Berikutan itu, pasukan pendakwaan memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Jamil Hussin supaya prosiding ditangguh kepada esok yang mana ia dipersetujui pihak pembelaan.

“Saksi kami tidak dapat hadir hari ini kerana telah mengambil MC pagi tadi kerana tidak berapa sihat. Kami hanya dimaklumkan sekitar jam 8 pagi,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Muhammad Shafee berdepan dengan dua tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014 dan berdepan dengan dakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit kesalahan, peguam itu boleh dihukum denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Muhammad Shafee berada di galeri mahkamah ketika penangguhan itu diumumkan.

Pasukan pembelaan sepatutnya menyambung soal balas dengan saksi itu pada hari ini.

Afzainizam berkata, selepas menyoal balas Syed Nasrul pihaknya akan menyambung dengan saksi seterusnya iaitu pegawai penyiasat yang menyiasat Muhammad Shafee. – MalaysiaGazette