Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 bermula hari ni sehingga 31 Mac ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (DSA-NATSEC) 2022 akhirnya membuka tirai hari ini.

Syarikat-syarikat dari 50 buah negara mempamerkan produk pertahanan masing-masing dengan Turki merupakan pempamer terbesar DSA-NATSEC 2022 selama empat hari, bermula hari ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini.

Negara tersebut mendominasi 50 peratus ruang pameran, atau 19,000 kaki persegi daripada 38,000 ruang pameran yang disediakan penganjur dengan 60 syarikat pertahanan Turki mengambil bahagian.

Turkish Aerospace salah sebuah syarikat pertahanan Turki membawa pesawat tanpa pemandu (UAV), Anka-S, keluarannya yang dijangka mencuri tumpuan pengunjung.

Pengunjung turut disajikan helikopter tempur ala Apache, Atak T129, dan jet pejuang TAI Hurjet.

Seramai 25,000 pelawat termasuk 4,800 pelawat antarabangsa membabitkan pakar industri pertahanan/keselamatan, pempamer, delegasi kenamaan, kakitangan kerajaan, peneraju industri serta wakil media dijangka mengunjungi DSA & NATSEC 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merasmikan DSA & NATSEC 2022 pada pagi tadi.

Kali terakhir pameran dwitahunan DSA-NATSEC dianjurkan pada 2018. – MalaysiaGazette