Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan penggubahan wang haram bernilai RM9.5 juta membabitkan peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersambung dengan keterangan saksi ke-8 memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi tersebut, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar memberi keterangan hasil siasatannya terhadap Muhammad Shafee sekitar 4 September 2018.

Mohamad Farid menyiasat peguam itu selepas SPRM menerima aduan tentang cek yang diterima oleh Muhammad Shafee daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi juga mendedahkan Muhammad Shafee telah menerima dua keping cek bernilai RM9.5 juta daripada Najib masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta antara 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Cek-cek itu dipercayai telah diserahkan oleh Najib kepada Muhammad Shafee di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada tarikh-tarikh berkenaan.

Mohamad Farid juga mendedahkan kedua-dua cek yang didakwa adalah atas khidmat guaman itu tidak dibayar atas nama firma Shafee & Co mahu pun dikredit ke dalam akaun syarikat guaman tersebut.

“RM9.5 juta itu dikatakan sebagai bayaran khidmat nasihat guaman oleh Muhammad Shafee kepada Datuk Seri Najib dan UMNO. Khidmat nasihat itu juga berkaitan 46 petisyen pilihan raya terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) antara tahun 2004 dan 2006.

“Itu juga merupakan bayaran pendapatan yang dikenakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi Muhammad Shafee tidak melaporkan pendapatan itu kepada LHDN,” katanya di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini hari ini.

Saksi itu juga mendedahkan Muhammad Shafee tidak melaporkan pendapatan RM9.5 juta tersebut sebagai Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan di Bahagian E dalam Borang B Tahun Taksiran 2013 dan 2014.

Muhammad Shafee ketika ini berdepan dengan dua tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014 dan berdepan dengan dakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit beliau boleh dihukum denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Prosiding akan bersambung pada 27 April depan. -MalaysiaGazette