Ada yang mengedit muka Aidil sehingga menyamai muka kapten Manchester United, Harry Maguire.

KUALA LUMPUR –  Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar mentaliti segelintir penyokong yang jelas masih berada di tahap yang rendah tetapi mahu melihat bola sepak negara terus berkembang pesat.

Beliau tampil mempertahankan Aidil Zafuan Abdul Radzak, selepas pertahanan kebangsaan itu terus dipersalahkan atas kekalahan skuad kebangsaan di tangan Singapura, pada Sabtu lalu.

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terkilan dengan ‘perangai’ penyokong yang seakan tidak menghargai pengorbanan yang sudah dicurahkan pertahanan berusia 34 tahun itu bersama skuad Harimau Malaya.

Toxic mentality dan mudah lupa. Nak bola sepak maju tapi kepala masing-masing tahap low class (tahap rendah). Semua lupa pengorbanan setiap pemain yang pernah mewakili negara.

“Semua lupa kejayaan dan pengorbanan mereka, seolah olah tiada makna. Kesian bila lihat pemain yang berkorban untuk pasukan kebangsaan atau mana-mana pasukan tidak dihargai,” kata Tunku Ismail menerusi komen pada akaun Instagramnya.

Terdahulu, persembahan tonggak veteran itu yang diturunkan pada aksi ‘Tetangga Seberang Tambak’ dikecam hebat oleh penyokong bola sepak tempatan khususnya di laman media sosial.

Lebih melampau, ada yang mengedit muka Aidil sehingga menyamai muka kapten Manchester United, Harry Maguire. – MalaysiaGazette