ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Bekas Penyanyi kumpulan nasyid yang disyaki menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara pada Khamis lalu akan didakwa di mahkamah majistret di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki berusia 47 tahun itu akan didakwa atas dua pertuduhan.

“Suspek sebelum ini ditahan dan direman untuk membantu siasatan polis dan pagi esok (Khamis) dia akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 B akta sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pada Khamis lalu, rumah bekas penyanyi yang juga komposer muzik itu diserbu polis dan pemeriksaan mendapati dia menanam pokok ganja di dalam rumah.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, polis berjaya menemui 17 batang pokok ganja yang ditanam dalam pasu di salah sebuah bilik, balkoni dan almari baju suspek di bilik tidur.

Mohamad Fakhrudin dalam berkata, polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan. – MalaysiaGazette