Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pihak kementerian dengan lapan syarikat pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dan lapan kontrak berjumlah RM2.596 billion.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, MoU itu ditandatangani dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), manakala tiga kontrak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan nilai RM249.5 juta, empat kontrak (Jabatan Imigresen/RM2.22 bilion) serta satu kontrak bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (RM124.2 juta).

“Kami sentiasa komited dalam meletakkan aspek keselamatan nasional sebagai agenda utama khususnya dalam perancangan perolehan.

“Apa yang kita buat ini membuktikan bahawa banyak kontrak yang sebenarnya kita sedang kaji bukan hanya yang ini (kontrak ditandatangani hari ini), banyak lagi aplikasi dan penyelesaian diperlukan.

“Ini membuktikan kerajaan beri keutamaan kepada keselamatan dalam negara. Apabila sesuatu perancangan selesai dan kita bagi kontrak serta kita tandatangan membuktikan kita bukan hanya bercakap mengenai perancangan, tetapi kita lantik kontraktor untuk teruskan agenda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Antara kontrak berimpak tinggi yang ditandatanganinya adalah perolehan peralatan Satelit X-Band untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), projek naik taraf Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) untuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi Jabatan Imigresen.

Menurut Hamzah, majlis berkenaan itu merupakan simbolik usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan negara terpelihara daripada ancaman dengan mengutamakan perolehan aset strategik.

“Ia mendukung tema Pameran DSA dan NATSEC 2022 iaitu ‘Advancing into a New Era of Defence and Security’ dan semoga dengan usaha ini KDN akan kekal komited memastikan keselamatan negara terpelihara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette