Mohd Sharkar Shamsuddin

KUANTAN – Pahang yang merancang menganjurkan pelbagai acara menyasarkan tujuh juta pelancong mengunjungi negeri itu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebahagian besar daripada aktiviti pelancongan itu dijangka tertumpu di pusat peranginan Genting Highlands.

Tambah Sharkar, program Pahang Hiking Day yang dilancarkan pada 20 Mac lalu yang mempromosikan lokasi pendakian di setiap daerah dapat membantu menjana ekonomi pengusaha hotel dan resort serta penduduk setempat.

“Sebanyak 79 buah bukit dan gunung yang boleh dijadikan destinasi tarikan pelancongan selain lebih 2,000 batang sungai yang terdapat di bukit dan gunung yang sesuai untuk aktiviti rekreasi,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Ah Wong (BN- Cheka) yang ingin mengetahui usaha kerajaan negeri untuk memulihkan industri pelancongan pada tahun ini melalui tema ‘This Is Pahang 2022-Unlimited’ yang dilancarkan pada 17 Januari lalu.

Antara acara pelancongan peringkat antarabangsa yang akan diadakan seperti Ocean Canoe International Challenge iaitu acara sukan air bertaraf dunia yang diadakan di jajaran persisiran pantai sepanjang 240 kilometer. – MalaysiaGazette