Professor Dr Roshana Takim UiTM lecturer Prof insults B40 student

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah di sebuah universiti awam tular di media sosial gara-gara mengeluarkan perkataan yang disifatkan sebagai menghina pelajar daripada golongan B40.

Pensyarah berkenaan memarahi pelajar terbabit kerana masih tidak memiliki komputer walaupun telah berada di semester kelima.

Dalam video yang tular itu, pensyarah berkenaan tahu kedudukan ekonomi keluarga pelajar berkenaan dari kumpulan B40.

Dia juga tahu ibu pelajar tersebut telah meninggal dunia manakala bapa pelajar berkenaan tidak mempunyai pekerjaan.

“Kau pakai apa? Kau pakai phone ya?”

“Ya prof.”

“Mana kau pun punya komputer?”

“Saya tidak ada komputer prof.”

“Kau tinggal kat mana?”

“Seremban.”

“Kau tinggal dekat Seremban. Bapa kau kerja apa?”

“Tak kerja prof.”

“Mak kau kerja apa?”

“Dah tak ada prof.”

“Mak kau dah tak ada. Bapak kau tak kerja?”

“Ya prof.”

Pensyarah berkenaan kemudiannya bertanya, sama ada pelajar terbabit mempunyai adik beradik yang lain. Pelajar berkenaan menjawab ada.

Namun tanpa bertanya lebih lanjut sama ada adik beradik pelajar itu sudah bekerja atau tidak, pensyarah berkenaan menggesa pelajar terbabit meminta kakaknya menjual gelang emas yang dimiliki untuk membeli komputer.

Dalam perbualan itu, pensyarah berkenaan turut menyatakan dia tidak boleh ‘duduk’ dengan golongan B40 kerana kumpulan tersebut lebih mementingkan perkara lain berbanding pelajaran.

“Kau cakap dengan kakak kau kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Aku cakap dengan kamu kalau kau ada kakak ada gelang emas, pergi jualkan gelang emas, beli komputer.

“Patut kau tak boleh belajar dengan baik kerana kau tak ada komputer. Lepas ni aku akan ajar kau excel pasal itu kau akan menjadi dropout student. Semester lima kau tak ada komputer.

“Aku sanggup tak ada pakaian, aku ada lima sahaja pakaian *** computer is very very important. Hanya RM800 sahaja beli komputer. Apa masalah kau?

“Pasal itu aku tak boleh duduk orang dengan B40 ya. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” katanya panjang lebar.

Video berkenaan tular di media sosial termasuk di Facebook dan TikTok.

Rata-rata warganet berpendapat pensyarah tersebut tidak wajar mengeluarkan kata-kata berkenaan walaupun pada asasnya beliau mahu mendidik pelajar berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan kejadian tersebut bukan berlaku baru-baru ini dan pelajar terbabit telahpun menamatkan pengajian. – MalaysiaGazette