Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.

Belia yang layak akan menerima kredit e-tunai sebanyak RM150 setiap seorang melalui aplikasi e-dompet yang dipilih, kata satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.

“Empat penyedia perkhidmatan edompet iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet telah dipilih untuk menjayakan program ini,” kata kenyataan yang sama.

Buat masa ini, keempat-empat penyedia perkhidmatan e-Dompet tersebut mempunyai jaringan peniaga runcit melebihi 1.2 juta.

Memandangkan program itu bermula pada pertengahan bulan April, peniaga PKS yang masih belum berdaftar untuk menerima bayaran pembeli secara elektronik atau tanpa tunai disarankan untuk mendaftar dengan penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat bagi mendapat manfaat daripada pelaksanaan program ePemula.- MalaysiaGazette