Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada Majlis Penghargaan dan Pengumuman Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kejayaan penganjuran Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Kebangsaan Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 menjadi penanda aras penganjuran pameran berskala besar dan peringkat antarabangsa selepas ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, DSA dan NATSEC Asia adalah pameran berskala besar yang pertama kali diadakan selepas pandemik Covid-19 dan dalam fasa memasuki endemik 1 April ini.

“Sebagai antara lima pameran terbaik yang diiktiraf dunia berkaitan keselamatan pertahanan, pada mulanya kami amat bimbang untuk menganjurkan pameran ini dengan jayanya sebelum ini.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh empat hari pameran ini berlangsung, ia berjalan dengan lancar dengan sokongan padu pelbagai pihak termasuk dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut sama dalam penganjuran ini.

“Dan sudah pasti ia bukti testament (penanda aras) untuk kita boleh menganjurkan lebih banyak pameran berskala besar dalam fasa endamik yang akan lebih mencabar nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan DSA 2022 dan NATSEC 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Hishammuddin menambah meskipun pameran itu tidak dibuka kepada orang ramai, ia berjaya meraih seramai 33,147 pengunjung sepanjang berlangsung bermula Isnin lalu hingga semalam.

Malah katanya, ia turut membabitkan 305 delegasi kenamaan serta penyertaan lebih 1,000 syarikat dan kira-kira 20 pavilion antarabangsa.

“Apa yang lebih penting daripada menunjukkan peralatan dan berdepan dengan beberapa isu dari segi partisipasi dari pavillion tertentu adalah perbincangan dijalankan secara bersemuka.

“Malah, kita kini dalam persediaan untuk penganjuran DSA dan NATSEC Asia seterusnya dan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa DSA NATSEC 2024 bakal berlangsung pada 6 hingga 9 Mei 2024,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada tahun depan, beliau berkata, pihaknya yakin mampu menjayakan pameran itu seperti mana DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022.

“Penganjuran LIMA nanti banyak bergantung kepada kejayaan kita di DSA dan NATSEC Asia dan jelas dalam tempoh empat hari ini, semua pihak membantu untuk meyakinkan Menteri Pertahanan bahawa kita berjaya dalam pameran ini.

“Ia sekali gus menjadi asas kukuh yang cukup baik untuk kita mengadakan dan menjayakan penganjuran LIMA pada tahun depan. Insha-Allah,” tegasnya. – MalaysiaGazette