Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan pegawai tentera dari luar negara yang hadir pada Majlis Penghargaan dan Pengumuman Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mempelawa penyertaan negara Brunei dan negara jiran Thailand dalam dua Perjanjian Kerjasama Trilateral (TAC) membabitkan keselamatan perairan negara di rantau ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerjasama itu bagi melindungi dan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Lautan Sulu, Sulawesi serta Selat Melaka daripada sebarang ancaman luar.

Katanya, untuk Perjanjian Kerjasama Trilateral yang terjalin antara Menteri Pertahanan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina, fungsinya akan diperluaskan lagi dengan penyertaan negara Brunei sebagai anggota terbaharu.

“Kami pemimpin ketiga-tiga negara dalam perjumpaan dan mesyuarat TCA terbaharu dua hari lepas telah membuat keputusan dan merancang untuk menerima Brunei dalam kerjasama TCA ini.

“Ia bertujuan untuk memastikan kerjasama dalam menghadapi ancaman luar dan menjamin keselamatan perairan di Lautan Sulu dan Sulawesi sentiasa terjamin dan terpelihara dan setakat ini beliau telah membincangkan perkara tersebut bersama rakan sejawatnya dari Brunei dan kini menunggu perkenan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bagi merealisasikan kerjasama berkenaan.

“Kerjasama dua hala dengan Brunei telah dibincangkan dengan Menteri Pertahanan II Brunei, Menteri Pertahanan II Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md Yusof. Kita telah bersetuju untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dalam aspek ketenteraan.

“Namun, paling membanggakan, perjanjian TCA akan disemak semula. Saya akan umumkan sekiranya dapat perkenan Sultan Hassanal Bolkiah, kita akan tukar daripada trilateral kepada kuartet untuk masukkan penyertaan Brunei,”katanya dalam sidang media di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa dan Malaysia (MITEC) hari ini.

Terdahulu beliau telah hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Kebangsaan Perkhidmatan Keselamatan Asia (DSA-NATSEC) 2022.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sememangnya, menurut Hishammuddin, pihaknya hendak melibatkan semua pihak dalam TCA tetapi perlu menemui titik persamaan untuk menyatukan mereka.

“Kalau kita tidak berdepan dengan ancaman yang sama di Laut Sulu dan Sulawesi saya percaya kita tak mungkin dapat menjayakan trilateral TCA bersama Indonesia dan Filipina.

“Insya-Allah sekarang ini melibatkan Brunei sekali dan kini hasrat penyertaan Brunei sudah dipersembahkan kepada Sultan Brunei dan sekiranya dapat diperkenan baginda, maka Brunei akan bersama Malaysia, Indonesia dan Filipina,” tegasnya.

Dalam satu lagi perkembangan lain membabitkan TCA tiga negara di perairan Selat Melaka, Hishammuddin jmenegaskan, Malaysia, Singapura dan Indonesia turut merancang untuk menerima Thailand dalam kerjasama tersebut pada masa akan datang.

“Ancaman ancaman yang kita lihat di Selat Melaka, kalau kita tak kenal pasti apa dia ancaman yang perlu kita tangani bersama, susah untuk kita nak melibatkan empat negara yang berdaulat untuk bekerjasama rapat dalam perkara ini.

“Kita merancang untuk membabitkan Thailand bersama Malaysia, Singapura dan Thailand untuk memperluaskan perjanjian bilateral serantau.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Singapura, Dr. Ng Eng Hen dan juga Prabowo (Menteri Pertahanan Indonesia) untuk membabitkan Thailand, dan terpulang kepada mereka untuk mempertimbangkan untuk memujuk Thailand menyertai kami.

“Ia akan membentuk kerjasama kuartet antara keempat-empat negara dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan di perairan Selat Melaka.

“Saya rasa inilah kamu tumpukan ke hadapan khususnya Asean untuk memastikan rantau kita stabil dan selamat serta paling pentingnya dihormati oleh negara kuasa besar dunia,” tegasnya.-MalaysiaGazette