Wan Rosdy hadir Majlis Pelancaran Produk Perlancongan astro-tourism - Pahang Amazing Sky di Wisma Sri Pahang hari ini.

KUANTAN – Kerajaan negeri menerusi Tourism Pahang  memperkenalkan pelancongan astronomi atau cakerawala bagi memberi peluang mereka berminat mengenai buruj serta tanda arah melalui peta bintang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, produk baharu itu juga dikenali sebagai astro-tourism dapat mendidik pelancong mengetahui arah kiblat yang menjadi rujukan penganut Islam untuk menunaikan solat.

Pelancong juga berpeluang melihat keindahan langit yang penuh dengan bintang di kawasan langit gelap yang bebas daripada pencemaran cahaya.

“Ini bermaksud pelancong boleh melihat suasana langit seperti zaman nenek moyang ketika mana langit belum dicemari oleh cahaya lampu buatan yang melenyapkan cahaya bintang.

“Melalui konsep pelancongan baru ini, pelancong juga boleh belajar mengenai buruj serta tanda arah melalui peta bintang di samping keindahan langit dan mengetahui tentang kesan pencemaran cahaya kepada manusia serta flora dan fauna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Rosdy sebelum itu merasmikan astro-tourism di Wisma Sri Pahang dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Wan Rosdy yakin dengan tema pelancongan Negeri Pahang, This is Pahang Unlimited ternyata akan memberikan impak besar kepada pelancongan negeri.

Jelasnya, selain kaya dengan keindahan flora dan fauna, Pahang mempunyai banyak kawasan langit gelap.

“Taman Negara Pahang dan Taman Negeri Rompin berpotensi digazetkan sebagai rizab langit gelap pertama negara. Ini berikutan kedua-dua kawasan tersebut merupakan kawasan perlindungan flora dan fauna kerana ia bebas dari limpahan lampu pembangunan,” katanya lagi.

Difahamkan kawasan Taman Negara di Pahang mencatatkan kualiti langit malam yang baik dalam julat 22 hingga 24 magnitud dan kadar itu berpotensi bagi menerapkan pelancongan astro-tourism di negeri ini. – MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast