A nurse showing the blood bag during the Blood Donation Campaign launch in conjunction with the 215th Police Day Celebration at the Kuala Lumpur Police Contingent Headquarters. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 31 MARCH 2022
A nurse showing the blood bag during the Blood Donation Campaign launch in conjunction with the 215th Police Day Celebration at the Kuala Lumpur Police Contingent Headquarters. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 31 MARCH 2022. Seorang jururawat menunjukkan bekalan darah semasa Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 31 MAC 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pusat Darah Negara bimbang dengan bekalan stok darah pada Ramadan ini ketika umat Islam berpuasa.

Timbalan Pengarah 2, Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara, Dr Nor Nazahah Mahmud berkata, ini kerana 60 peratus penderma darah di negara ini adalah dalam kalangan masyarakat muslim.

Justeru, beliau berharap penderma darah termasuk masyarakat muslim berterusan melakukan aktiviti itu mengikut tempoh ditetapkan.

“Setiap individu boleh derma darah sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Insya-Allah kita mula berpuasa Ahad ini. Cabaran yang kami hadapi adalah sangat besar sebab 60 peratus penderma darah di negara ini adalah muslim.

“Usahalah meluangkan masa menderma darah sama ada pagi selepas empat jam bersahur atau pun selepas waktu berbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen Derma Darah sempena peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat polis Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk  Azmi Abu Kassim.

Dr Nor Nazahah menjelaskan, mengikut hukum Islam untuk menderma darah adalah harus.

“Menderma darah semasa berpuasa juga tidak membatalkan puasa. Cuma kita galak pada masa yang sesuai dan bersedia mental serta fizikal untuk menderma darah,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bersama Dr Nor Nazahah Mahmud melawatruang menderma darah pada Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 31 MAC 2022.

Selain cabaran besar memastikan stok darah cukup sepanjang bulan puasa, Pusat Darah Negara juga bimbang perkara sama semasa cuti panjang menjelang perayaan.

“Ada cuti panjang iaitu Hari Pekerja dan perayaan Aidilfitri. Kami risau sebenarnya. Tempoh seminggu itu nanti kita mengharapkan masih ada yang sudi hadir di pusat menderma darah supaya tidak ada masalah dari segi stok darah.

“Perkhidmatan transfusi adalah satu daripada essential services. Tiada lagi bahan boleh menggantikan darah atau pun sintetik walaupun ada dalam kajian terdahulu,” katanya.

Katanya, ia bermakna darah sangat diperlukan untuk pesakit yang berada di hospital.

Mengikut data, dalam seminggu untuk Lembah Klang sahaja sebanyak 4,000 unit atau pun dalam sehari 500 hingga 600 beg darah perlu dikutip.

“Kutipan pada hari ini sahaja sudah pun menyumbang keperluan kira-kira 50 peratus harian Lembah Klang.

“Sehari di seluruh negara pula, kami perlu mengutip sebanyak 2,000 beg yang mengikut data menunjukkan yang harus diberi kepada 1,000 pesakit.

“Itu anggaran kasar jumlah beg darah diperlukan yang kami berikan data ini supaya untuk kempen tidak terlampau tinggi,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kutipan yang terlampau tinggi pula akan membawa kepada pembaziran dan pembuangan darah disebabkan ia mempunyai tarikh luput. – MalaysiaGazette