PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara meminta rakannya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih, seorang pelajar sekolah KAFA di Cheras didakwa telah dirotan sebanyak lima kali oleh gurunya.

Akibat kejadian itu, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa dirotan selepas gurunya tidak berpuas hati dengan mangsa ketika kejadian pada 29 Mac lalu.

Pada malam kejadian bapa mangsa telah membuat laporan polis terhadap kejadian menimpa anaknya.

“Dalam melengkapkan siasatan, pegawai penyiasat kes telah
hadir ke sekolah berkenaan namun dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa guru terbabit sedang bercuti dan kini berada di luar kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Idzam, kes disiasat di bawah Seksyen
324 Kanun Keseksaan.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kes ini,” katanya lagi.

Polis, katanya, menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas pelajar sekolah dianggap kes serius.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast