Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media mengenai kerjasama Yayasan Anti Rasuah Malaysia di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR –  Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ada berjumpa dengannya dua minggu lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri semula.

Menurutnya, beliau tidak dapat memberikan sebarang reaksi terhadap permintaan tersebut kerana Muhyiddin pernah mengkhianatinya ketika beliau memimpin tampuk kepimpinan negara dari 2018 hingga 2019.

“Muhyiddin berjumpa saya dan mahukan sokongan saya untuk percubaan dia menjadi perdana menteri sekali lagi.

“Dia minta sokongan. Dia tahu Pejuang kalah dalam pilihan raya. Kita tidak kuat. Kita tidak ada wang. Tapi dia mohon untuk sokong dia.

“Saya tak tahu nak kata apalah. Saya tak jadi perdana menteri kerana Muhyiddinlah. Sekarang ini dia minta tolong orang yang dia tikam belakang tapi tak mati lagi,” kata Mahathir secara sinis dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Yayasan Anti Rasuah di sini hari ini.

Tambah Mahathir, Muhyiddin bukan seorang perdana menteri yang bagus selepas mengambilalih pentabiran negara daripadanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Muhyiddin tidak memerlukan bantuannya untuk menjadi perdana menteri semula sekiranya beliau mencatatkan kejayaan ketika mengetuai kerajaan.

“Semasa dia menjadi perdana menteri kebanyakan orang tak puas hati dengan dia punya kepimpinan. Dia bukan perdana menteri yang bagus. Sebab itu takda sebab orang nak pilih dia semula.

“Kalau dia buat beberapa pencapaian untuk Malaysia saya yakin dia tak dapat pertolongan daripada saya pun dia akan menang,” katanya lagi.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai sama ada terdapat sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang, Mahathir berkata, Pejuang masih belum membuat sebarang keputusan.

Namun menurutnya, Pejuang akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menolak rasuah.

“Kita tidak buat apa-apa keputusan lagi.  Kita bekerja dengan parti yang menentang rasuah. Mereka perlu membuat deklarasi yang jelas bahawa mereka menentang rasuah dan mereka tak bertanding dengan memberikan wang kepada pengundi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bagus lah tun tapi tun pun tak bijak dalam menghadapi krisis itu. Kerana dalam hati tun ada penyakit . Dengan penyakit itu tuhan bagi umor untok tun bertaubat . Ambillah kesempatan itu . Tobatlah …..

Comments are closed.