Sebahagian daripada 4,277 pasang kasut dan selipar berjenama dipercayai tiruan bernilai RM85,710 yang dirampas KPDNHEP Melaka dalam satu serbuan di Bachang, Melaka semalam.

MELAKA – Sebanyak 4,277 pasang kasut dan selipar berjenama dipercayai tiruan bernilai RM85,710 tidak sempat dijual di bazar raya di Melaka apabila barangan tersebut dirampas dalam satu serbuan di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota pada kira-kira pukul 12 tengah hari di Bachang.

Menurutnya, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an yang dipercayai pemilik barangan tiruan terbabit namun dilepaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan mendapati pemilik barangan ini menumpukan jualan kepada pengguna terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri secara dalam talian selain dipercayai turut diedarkan kepada peniaga bazar raya.

“Kejayaan ini susulan hasil risikan selama seminggu dan siasatan awal mendapati aktiviti ini aktif sejak hampir sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada 4,277 pasang kasut dan selipar berjenama dipercayai tiruan bernilai RM85,710 yang dirampas KPDNHEP Melaka dalam satu serbuan di Bachang, Melaka semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Mengulas lanjut, Norena meminta masyarakat terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

“Selain itu saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp juga disediakan di talian 019-279 4317,” katanya. – MalaysiaGazette