Kemalangan melibatkan dua buah lori di KM 18, Jalan Lipis – Merapoh mengakibatkan seorang pemandu lori maut semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis petang tadi.

KUANTAN – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori lain dari arah bertentangan di Kilometer 18, Jalan Lipis – Merapoh dekat sini hari ini.

Kedua-dua bertembung apabila salah sebuah lori cuba mengelak daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda, kata Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis pada petang tadi.

Hasil siasatan awal dan keterangan saksi, mangsa dikenali Sulaiman Sabtu, 59, dalam perjalanan dari Lipis menghala ke Merapoh.

“Mangsa cuba mengelak sebuah kenderaan jenis Hilux yang  keluar dari simpang dan memasuki lorong bertentangan sehingga berlaku kemalangan dengan lori lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Akibat daripada kemalangan tersebut, kata Azli, pemandu lori dari arah bertetangan mengalami cedera ringan di bahagian leher.

“Pada pukul 4. 30 petang tadi, polis telah terima makluman daripada pihak hospital bahawa mangsa telah meninggal dunia manakala proses bedah siasat mangsa dilakukan sejurus keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh,” ujarnya.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazatte