Norena Jaafar. Gambar Bernama

MELAKA – Pemilik premis khususnya hotel dan restoran di negeri ini yang tidak mempunyai pengiktirafan sijil halal diingatkan tidak mengiklankan bufet Ramadan atau berdepan tindakan kompaun.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan di lapangan serta secara maya bagi mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Saya nak ingatkan premis khususnya pengusaha hotel dan juga restoran di negeri ini yang tiada pengiktirafan sijil halal supaya tidak mempromosi atau iklankan bufet Ramadan.

“Iklan sebegitu jelas sekali menyasarkan masyarakat Islam dan jika ada yang berdegil, KPDNHEP tidak akan berkompromi untuk terus mengeluarkan kompaun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, aspek teknikal iklan itu antara tiga perkara difokuskan pihaknya selain trend kenaikan harga makanan di bazar Ramadan serta bufet Ramadan di premis dan hotel.

“Mulai esok, seramai 96 penguat kuasa kita akan bergerak ke semua bazar Ramadan termasuk pasar pagi dan hotel serta premis menganjurkan bufet Ramadan.

“Kita percaya selepas dua tahun tidak dapat berniaga di bazar Ramadan, akan ada peniaga atau pengusaha hotel cuba mengambil kesempatan menaikkan harga makanan hingga membebankan pengguna,” tegasnya

Menurut Norena, pemantauan bufet Ramadan di hotel dan premis pula bagi mengenal pasti jika ada unsur caj berlebihan dalam harga menu ditawarkan.

“Berpada-padalah supaya tidak bebankan pengguna, sama-samalah kita membantu ketika ekonomi negara baru kembali pulih,” katanya. – MalaysiaGazette