LABUAN – Dua beradik yang dikuatiri hilang selepas gagal pulang daripada aktiviti memancing di kawasan laut Semarang sejak semalam, telah ditemui dengan selamat.

Muhammad Nuhidayat Jafari, 18, dan abangnya Muhammad Nabil Jafari, 22, telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pagi tadi.

Kedua mereka dilaporkan telah keluar ke laut pada jam 5 pagi 2 April, namun enjin bot mereka rosak ketika sedang memancing, namun berjaya membuat panggilan kepada ibu mereka hari ini, yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Ketua APMM Zon Labuan, Kepten Nurdin Jusoh berkata, bot peronda telah dikerahkan untuk membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pihaknya menerima laporan pada 8.40 pagi tadi.

SAR tersebut telah turut disertai anggota daripada polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Pemancing adik beradik itu cuba mendapatkan bantuan daripada pemancing lain di kawasan itu namun tidak berjaya, sebelum operasi menemukan mereka dan bot mereka itu dibawa ke pangkalan APMM di sini,” katanya. – Bernama