Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR – Usaha holistik perlu diambil segera dalam melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa jenayah seksual di negara ini dengan semua pihak  melipatgandakan usaha mencari penyelesaian membendung masalag tersebut.

Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie berkata, antara langkah yang perlu dipertimbangkan kerajaan ialah mendidik kanak-kanak badi memastikan mereka mengetahui hak peribadi dan batasan dalam mengenalpasti niat jahat pelaku.

Kanak-kanak juga perlu didik cara memaklumkan ibu bapa, penjaga, guru atau ahli keluarga yang dipercayai mereka tentang kejadian itu, tambah beliau.

“Dalam perkara terbabit, sebelum ini Wanita MCA pernah mencadangkan kerajaan untuk menjadikan Pejabat Pendaftaran Pesalah Seks Kebangsaan boleh diakses secara terbuka, terutamanya untuk ibu bapa dan pihak sekolah atau majikan supaya dapat membuat semakan latar belakang kemungkinan rekod kesalahan seksual lampau.

“Ia bukan tindakan mendiskriminasi terhadap bekas penjenayah seksual, tetapi langkah proaktif untuk menangani peningkatan agak membimbangkan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

“Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Tambahan pula, kanak-kanak yang telah diganggu secara seksual boleh mengalami trauma yang teruk dan membawa parut secara mental sepanjang hayat mereka,’ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan statistik terkini, angka jenayah seksual kanak-kanak meningkat hampir 42 peratus antara tahun 2020 and 2021, malah kes mahkamah jenayah seksual turut meningkat.

Menurut Seai Kie, masyarakat tidak boleh membiarkan jenayah terhadap kanak-kanak terus meningkat dan ia boleh dilakukan dengan semua pihak berganding bahu untuk mewujudkan Malaysia sebagai tempat selamat dan sejahtera untuk kanak-kanak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast