Ajith Nivard Cabraal. foto Bloomberg

COLOMBO – Gabenor Bank Pusat Sri Lanka telah menyerahkan surat peletakan jawatannya ketika negara itu berdepan dengan krisis ekonomi terburuk.

Pengumuman Ajith Nivard Cabraal dibuat selepas semua menteri kabinet negara itu meletakkan jawatan.

Penunjuk perasaan yang marah juga telah menggesa perdana menteri dan presiden negara itu berundur.

Kekurangan mata wang asing yang teruk menyebabkan kerajaan ini tidak mampu membayar import penting, termasuk bahan api.

Negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 22 juta penduduk ini mengalami krisis ekonomi yang paling serius sejak kemerdekaan daripada United Kingdon pada 1948.

Bank pusat itu dijangka membuat keputusan kadar faedah pada hari Selasa.

Jurucakap bank pusat memberitahu BBC pada petang Isnin bahawa pada masa ini tiada rancangan untuk menangguhkan pengumuman itu.

Lakshini Fernando, dari Asia Securities menjangkakan bank itu akan menaikkan kadar faedah utamanya sekurang-kurangnya dua mata peratus dalam usaha menstabilkan rupee Sri Lanka.

Mata wang itu telah kehilangan lebih 30% daripada nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat sejak nilainya diturunkan pada bulan lepas.

Walaupun pasaran berkemungkinan memberi reaksi positif terhadap peletakan jawatan Cabraal, “kuncinya ialah siapa yang mengambil alih pada ketika ini,” kata Fernando kepada BBC.

“Kami pastinya memerlukan lebih banyak penjelasan mengenai dasar untuk momentum yang lebih kukuh,” katanya.

Penunjuk perasaan telah turun ke jalan-jalan di ibu kota Colombo kerana rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik sehingga 13 jam pada satu-satu masa.

Rakyat Sri Lanka juga berhadapan dengan gangguan elektrik dan inflasi yang melambung selepas negara itu menurunkan nilai mata wangnya bulan lalu sebelum perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan negara ini.

Ia berlaku apabila 26 menteri Sri Lanka telah menyerahkan surat peletakan jawatan kecuali Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa dan abangnya, Presiden Gotabaya Rajapaksa.

Sementara itu, bekas peguam Presiden Rajapaksa, Ali Sabry, mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan baharu pada hari ini.

Cabraal dilantik sebagai Gabenor ke-16 bank pusat itu pada September lalu.

Beliau sebelum ini merupakan gabenor ke-12 bank itu selama hampir sedekad, dari Julai 2006 hingga Januari 2015.

Semasa penggal pertamanya memegang jawatan, Cabraal juga membantu meningkatkan lebih tiga kali ganda saiz ekonomi Sri Lanka, menurut bank itu. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast