A. A. Anbalagan Serdang Seri Kembangan murder hacked body man
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERDANGĀ  – Seorang lelaki ditemui mati disyaki dibunuh dengan kesan tetakan di hadapan sebuah kedai makan di Seri Kembangan awal pagi semalam.

Insiden itu dipercayai berlaku di hadapan kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A.Anbalagan berkata, polis telah menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 5.56 pagi semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat pengadu, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan premis itu.

“Mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 tahun dan beralamat di Taman Bukit Serdang.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dibunuh dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang,” katanya dalam kenyataan awal pada tengah malam tadi.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut pada badan simati mendapati, mangsa mengalami kesan tetakan pada bahagian muka, leher dan tangan.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hopsital Serdang untuk dibedah siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis masih meneruskan siasatan kes tersebut untuk mengesan dan menangkap kesemua suspek yang telah dikenalpasti terlibat serta dipercayai masih bebas di luar selepas melakukan jenayah bunuh terbabit,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette