Home Nasional Lelaki warga asing kurang siuman ceroboh tadika ditahan polis

Lelaki warga asing kurang siuman ceroboh tadika ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai tidak siuman menceroboh masuk sebuah tadika di Telok Panglima Garang, Kuala Langat baru-baru ini telah ditahan polis di Taman Pahlawan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru wanita tadika berkenaan pada 7.50 pagi, Jumaat lalu mendakwa tadika itu diceroboh lelaki warga asing yang menakutkan dia dan kanak-kanak.

“Berdasarkan siasatan awal polis mendapati seorang lelaki warga asing telah menceroboh masuk ke dalam tadika dengan alasan mahu memberikan roti kepada anaknya.

“Guru tadika berkenaan pada awalnya memaklumkan ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke dalam tadika untuk apa tujuan sekalipun kecuali kecemasan.

“Suspek bagaimanapun telah bertindak merampas topi keledar pelajar yang dipegang oleh guru, seterusnya meluru masuk ke dalam kelas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, beberapa ibu bapa yang menyedari kejadian itu telah menangkap suspek yang berusia 23 tahun itu.

Menurut beliau, mereka bagaimanapun melepaskan suspek setelah menyedari dia tidak siuman.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mengeluarkan kata-kata ugutan dan tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada sesiapa yang berada di tadika itu. Kami dimaklumkan bahawa pihak tadika juga tidak menerima pelajar warga asing.

“Suspek tersebut gagal memberikan dokumen pengenalan diri kepada pihak polis semasa tangkapan dilakukan bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” ujarnya sambil menambah insiden tersebut tular di laman media sosial baru-baru ini.

Ahmad Ridhwan berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek disyaki mempunyai masalah kesihatan mental dan tidak mempunyai anak.

Tambah beliau, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette